nav-left cat-right
cat-right

Debar Bertunang

Debar Bertunang

Ikatan pertunangan adalah satu perjanjian yang dipersetujui oleh pihak keluarga lelaki dan perempuan untuk menjodohkan anak mereka dalam tempoh tertentu selepas upacara merisik dan meminang dijalankan. Pada kebiasaannya di hari pertunangan, pihak lelaki turut menghantar belanja yang disertai dengan beberapa hadiah iringan.

Dalam adat ini, hantaran tepak sirih merupakan satu bahan paling utama. Daun sirih terpilih digubah dengan cantik disertai kapur, gambir dan buah pinang yang telah dikacip. Di antara barangan hantaran yang kebiasaannya dibawa oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan iaitu:

  1. Tepak sireh untuk mengelapai hantaran
  2. sebentuk cincin pertunangan
  3. satu set bahan persolekan
  4. bunga rampai
  5. sepasang baju
  6. kuih muih
  7. buah-buahan

Setiap jenis hantaran diletakkan di dalam sebuah pahar atau bekas dan hantaran-hantaran tersebut akan dikelapai oleh tepak sireh yang telah digubah tadi. Pada kebiasaannya, bilangan barangan hantaran adalah berangka ganjil dan mengikut kemampuan pihak lelaki serta mengambil kira kemampuan pihak perempuan

Malah jika bilangan hantarannya banyak, maka lebih meriahlah majlis tersebut dan kedua-dua belah pihak akan merasa gembira . Jumlah hantaran menjadi semakin bertambah apabila ada di antara saudara-mara kedua-dua belah pihak yang berhajat untuk memberi juadah sebagai hantaran.

Buah-buahan dan bunga rampai lazimnya merupakan barang hantaran wajib kerana sifatnya yang manis dan berbau wangi. Ia boleh dianggap sebagai harapan kedua-dua belah pihak agar perjanjian perhubungan tersebut akan berterusan dan berkekalan

Manakala hantaran-hantaran pertunangan akan diletakkan di tengah-tengah majlis dihadapan semua yang hadir. Ketua perwakilan pihak lelaki duduk berhampiran dengan ketua perwakilan pihak perempuan. Rundingan seterusnya adalah berkisar tentang tempoh pertunangan, jumlah hantaran belanja dan perjanjian untuk menghadapi sebarang kemungkinan jika pertunangan itu putus atas apa-apa jua sebab.

Selepas mendapat kata putus mengenai perkara-perkara yang dibincangkan, istiadat menyarungkan cincin akan dijalankan. Cincin disarungkan ke jari manis tangan kanan gadis. Maka dengan tersarungnya cincin pertunangan ini, rasmilah pertunangan tersebut.

One Response to “Debar Bertunang”

  1. siti aisiah says:

    ape contoh barang hantaran utk pihak leleki n perempuan..boleh tolong senaraikan x..sy nak yg simple2 je

Leave a Reply